Wednesday 12 December 2012

Kepentingan reka cipta

Untuk mencapai status negara maju sesebuah negara itu semestinya dapat melahirkan ramai pereka cipta yang menjadi penyumbang kepada perkembangan teknologi moden. Sebagaimana yang disuarakan oleh Perdana Menteri Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020, sembilan cabaran telah dikemukakan. Antaranya ialah mempertingkatkan usaha dalam bidang sains dan teknologi supaya kita tidak hanya menjadi pengguna teknologi tetapi sebagai penyumbang kepada dunia teknologi. Oleh itu bidang reka cipta merupakan salah satu bidang yang mampu memenuhi cabaran tersebut.

Dunia sentiasa berubah. Ilmu, kemahiran dan maklumat berkembang pesat dalam masa yang singkat. Perkembangan ini juga berlaku dalam negara kita menyebabkan terhasilnya berbagai produk yang berguna dan berkualiti. Produk yang direkacipta ini amat penting dan perlu diperkembangkan agar penghasilan barangan baru boleh diperkenalkan kepada dunia. Oleh itu negara tidak perlu bergantung kepada negara luar untuk membekalkan peralatan kerana ia boleh dihasilkan oleh rakyat kita sendiri.

Bidang reka cipta juga dapat menjamin masa depan negara yang lebih cemerlang dalam bidang sosial, ekonomi, sains dan teknologi. Secara umumnya suatu reka cipta adalah terhasil daripada suatu masalah yang memerlukan penyelesaian. Sehubungan itu produk yang terhasil daripada satu reka cipta seharusnya dapat memberi satu kepuasan sepenuhnya kepada pereka cipta dan umum.

No comments:

Post a Comment