Pengenalan
Dari segi struktur frasa, kesalahan yang
sering dilakukan oleh pengguna BM ialah melanggar hukum D-M
(Diterangkan-Menerangkan). Hukum ini menetapkan bahawa dalam pembinaan
sesuatu frasa, perkara yang diterangkan mesti berada pada posisi
hadapan perkara yang menerangkan. Dari segi struktur ayat pula,
kesalahan yang sering dilakukan adalah dalam penggunaan ayat pasif
berpelaku, penstrukturan ayat yang mengandungi kata kerja transitif dan
kata kerja tak transitif, khususnya bagi yang berpelengkap kata
preposisi. Struktur ayat yang panjang, sehingga menyukarkan pembacaan
dan pemahaman, juga antara kelemahan yang sering dilakukan.
Kesalahan Struktur Frasa
Lain-lain Perkara dan Pertama Kali
Struktur
yang gramatis ialah “perkara-perkara lain“ bukannya “lain-lain
perkara“. “Pertama kali“ tidak gramatis. Yang gramatis ialah “kali
pertama“.
Kesalahan Struktur Ayat
Penggunaan Ayat Pasif Berpelaku
Terdapat
satu kategori ayat pasif yang dikenali sebagai ayat pasif berpelaku. Ia
dinamai sedemikian kerana ayat pasif jenis ini mengandungi pelaku.
Walau bagaimanapun, pelaku untuk ayat pasif terhad pada ganti nama diri
pertama dan ganti nama diri kedua sahaja. Kesalahan yang sering
dilakukan ialah menggunakan ayat pasif ini untuk pelaku yang bukan ganti
nama pertama atau ganti nama diri kedua. Oleh itu, (1a-c) dikira
gramatis tetapi (2a-c) dianggap tidak gramatis.
(1) a. Saya baca buku itu.
b. Kamu baca buku itu.
c. Kita baca buku itu.
(2) a. *Dia baca buku itu.
b. *Mereka baca buku itu.
c. *Sarah baca buku itu.
Kesalahan
kedua berkaitan penggunaan ayat pasif berpelaku ini adalah dari segi
posisi kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Rumus menyatakan bahawa
frasa nama pelaku dengan kata kerja tidak boleh dipisahkan oleh sebarang
unsur, termasuk kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Ayat dikira
tidak gramatis jika terdapat kata bantu yang mengisi posisi antara frasa
nama pelaku dengan kata kerja. Oleh itu, (3a-c) adalah gramatis
manakala (4a-c) adalah sebaliknya.
(3) a. Hendak saya baca buku itu.
b. Akan kamu lihat kebaikannya.
c. Belum kita bincangkan cadangan itu.
(4) a. *saya hendak baca buku itu.
b. *Kamu akan lihat kebaikannya.
c. *Kita belum bincangkan cadangan itu.
Mesti Menceritakan Kebaikannya, Jangan Mendedahkan tentang Keburukannya
Struktur
ayat yang mengandungi kata kerja transitif ialah SKO (Subjek + Kata
Kerja + Objek). Objek ayat mesti terdiri daripada frasa nama. Dengan
kata lain, kata kerja transitif mesti diikuti terus oleh frasa nama.
(5a-c) ialah contoh ayat yang berstruktur sebegini.
(5) a. Kita mesti menceritakan kebaikan kawan kita.
b. Ahli-ahli parlimen membahaskan usul tersebut.
c. Para penyelidik itu membentangkan hasil kajian mereka.
Dalam
(5a-c), kata kerja transitif “menceritakan”, “membahaskan” dan
“membentangkan” masing-masing diikuti terus oleh objek, iaitu frasa nama
“kebaikan kawan kita”, “usul tersebut” dan “hasil kajian mereka”. Oleh
itu, (5a-c) adalah gramatis.
Jika struktur ini tidak dipatuhi, ayat (6a-c) yang dijana tidak gramatis.
(6) a. *Kita mesti menceritakan tentang kebaikan kawan kita.
b. *Ahli-ahli parlimen membahaskan tentang usul tersebut.
c. *Para penyelidik itu membentangkan tentang hasil kajian mereka.
Kehadiran
kata praposisi “tentang” telah mengubah struktur ayat (6a-c) daripada
SKO menjadi SKP. Keadaan ini menyebabkan ayat-ayat tersebut tidak
gramatis.
Mesti Pergi ke Sekolah, Jangan Pergi Sekolah
Bagi
sebahagian besar ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif
berpelengkap, strukturnya ialah SKP (Subjek + Kata Kerja + Praposisi).
Dengan kata lain, kata kerja tak transitif tersebut mesti diikuti terus
oleh kata praposisi. (7) ialah contoh ayat yang berstruktur sebegini.
(7) Sarah pergi ke sekolah.
Jika struktur ini tidak dipatuhi, ayat (7’) yang dijana tidak gramatis.
(7’) *Sarah pergi sekolah.
Ketidakhadiran
kata praposisi “ke” telah mengubah struktur ayat (7) daripada SKP
menjadi SKO. Keadaan ini menyebabkan ayat (7’) tidak gramatis.
No comments:
Post a Comment